Tuesday, March 24, 2009

Tahniah Ali dan Marlin

Seluruh keluarga dan kerabat Keluarga Besar KiyaiKusen&MbahDhar mengucapkan tahniah kepada bro Ali & Marlin yang telah dikurniakan seorang puteri permata hati.

Bayi comel yang selamat dan sihat telah diberi nama QASRINA AWATIF( Kalau silap tolong betulkan).

Kami semua mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan anda sekeluarga.

Kalau ada foto boleh upload kan untuk tatapan semua pengunjung. TQVM

Saturday, March 14, 2009

Kenangan Di Pagi Aidil Fitri

Foto ini dirakamkan selepas solat Hari raya Aidil Fitri. Juru foto yang mengambil gambar ini agak kurang bernasib baik kerana wajahnya tidak dapat dirakamkan kerana terpaksa bertugas dipagi aidilfitiri.

Namun begitu, kemeriahan suasana Hari tetap dapat dirasai bersama.

Ada yang tak puashati kerana tak dapat masuk dalam frame ini...bersedialah untuk tahun depan.

Tuesday, March 10, 2009

Gambar Retro Yang Kabur


Ini satu lagi gambar klasik yang diperolehi dari simpanan koleksi lama. Malangnya gambar yang di scan agak kabur. Mungkin tuan punya diri masih mengenal postur dan gestur tubuh masing-masing. Kalau ada yang boleh bantu menamakan mereka lagi bagus.

Kalau ada sesiapa yang memiliki gambar-gambar retro bolehlah dikongsi bersama untuk menambahkan lagi koleksi Retro untuk tatapan generasi baru.

MOZAM - Kalau ada yang tidak mahu gambarnya disiar terbit, sila maklumkan kepada admin untuk tindakan selanjutnya.

Monday, March 9, 2009

AL MARHUM KIYAI ABAH RASED

Foto ini dirakamkan ketika 'Program jejak Ulama' yang dianjurkan oleh Keluarga Hj Husin Pada tahun 90-an. Orang yang dimaksudkan ialah Abah Rased ( berkopiah putih ). Dia dikatakan teman baik kepada al marhum Mbah Gedi ketika menjalankan aktiviti pengajian di pondok Indonesia. ( Kalau ada pengkaji yang berminat boleh tulis tentang topik ini.)

Masa ni aku masih belajar lagi. adik beradik pun ramai yang masih belajar lagi. Jadi tak berpeluang untuk turut sama dalam lawatan ini.

Aku cadangkan kepada yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang susur galur keturunan dan leluhur, kita anjurkan balik Program jejak ulama ni. Kalau ada yang boleh jadi To ketua, aku sokong je. Aku rasa ramai yang berminat untuk turut serta kalau diaturkan lebih awal.

Dengar ceritanya, Man Noh dah memulakan langkah tinjauan awal untuk trip pada tahun ni. tapi aku tak dapat maklumat yang lebih lanjut. Menurut sumber yang boleh dipercayai, Program tersebut terpaksa ditangguh selepas Pemilu Indonesia . Jadi, masih ada masa kepada yang berminat, tapi belum cukup bajet untuk membuat persediaan awal.

Kalau ada siapa-siapa yang mempunyai info terkini, harap dapat maklumkan kepada semua pengunjung blog ini.

MOZAM

Sunday, March 8, 2009

Forum Jaringan Kiyai Kusen(KK)

Insya-Allah satu Platform FORUM AKAN dibangunkan bagi merapatkan tali silaturrahim antara keluarga terutama bagi mempertemukan dalam jaringan maya ini.

Semua keluarga terutama yang tahu tentang internet digalakkan untuk turut serta. Forumboleh dijadikan platform untuk menyampaikan progress aktiviti yang dirancang,jaringan maklumat perubatan, membentuk jaringan perniagaan, jaringan pelajaran anak-anak, persoalan-persoalan semasa, maklumat lanjut tentang sahadat, perkembangan semasa warga emas di kalangan keluarga, pencapaian akademik di kalangan kumpulan KK, perkongsian gambar dll

Semoga platform ini memberi manfaat kepada kita semua. Nantikan dan kami akan link pada blog ini. Forum dijangka beroperasi pada pertengan Mac 2009

othman mughni

Thursday, March 5, 2009

Kiai Haji Husain Haji Abbas Pendiri pondok di Sijangkang

ARTIKEL ini masih membicarakan tokoh-tokoh ulama Selangor yang tiada dalam koleksi penyelidikan penulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah. Disebabkan ruangan ini juga mengkhususkan pengenalan kepada tokoh-tokoh ulama Melayu Nusantara, dilihat adalah wajar untuk mengetengahkan dan memperkenalkan ulama-ulama tersebut secara meluas.

Dalam ruangan yang lepas, telah dibicarakan bahawa terdapat lapan tokoh ulama Selangor yang tidak dibicarakan lagi dan memerlukan ruangan yang khusus. Oleh itu, ulama yang diperkenalkan ini adalah salah seorang daripadanya yang juga antara ulama Jawa yang terkenal di Selangor.

Tokoh ulama yang dibicarakan ini adalah hasil penyelidikan daripada salah seorang pembentang seminar, iaitu Ustaz Khafidz Soroni, merupakan pensyarah Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan diberi judul Kiai Haji Husain Bin Haji Abbas: Tokoh Ulama Masyarakat Jawa di Selangor.

Sumber penyelidikan terhadap ulama ini juga adalah berdasarkan temu bual pembentang kertas kerja dengan anak ketiga beliau iaitu Haji Muhammad Mahin Haji Husain yang juga pernah berguru dan menadah kitab dengan bapanya sendiri.

Antara perkara yang disentuh oleh pembentang dalam kertas kerjanya adalah mengenai nama, kelahiran, keturunan, pembelajaran dan guru-guru beliau, pondok pengajian, kebolehan beliau sebagai hafiz al-Quran, ahli Falak dan penulisan, sifat-sifat beliau, kisah-kisah karamah beliau, kewafatan dan rumah tangga beliau. Namun dalam ruangan ini hanya memetik beberapa perkara sahaja yang boleh dijadikan sebagai kajian awal mengenai ulama ini.

Nama dan kelahiran

Nama beliau ialah Kiai Haji Husain bin Haji Abbas @ Abdullah Kafi bin Qaribun. Adakalanya beliau meletakkan nama jolokan (kunyah) ‘Abu Bakar’ di awal namanya kerana anak sulungnya adalah seorang perempuan, sebagaimana adat kebiasaan di kalangan orang-orang Arab, dan adakalanya diletakkan gelaran ‘al-sijankani’ di hujung namanya sebagai nisbah kepada kampung Sijangkang.

Beliau dianggarkan lahir pada tahun 1918 atau 1919, kerana beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1981 dalam usia kira-kira 62 atau 63 tahun. Salasilah keturunan beliau tidak dapat dipastikan dengan jelas, kerana beliau tidak suka menceritakan tentang nasab atau asal-usul keturunannya.

Namun diriwayatkan bahawa makam datuknya iaitu Kiai Qaribun yang terletak di Yogjakarta, Indonesia adalah di kawasan perkuburan orang-orang besar dan kuburnya agak berlainan dengan kubur orang biasa kerana lebih besar dan mempunyai ukiran-ukiran yang indah.

Guru-guru

Sejak kecilnya lagi beliau amat minat dalam menimba ilmu pengetahuan, sehingga menguasai pelbagai bidang ilmu agama. Selain belajar dengan bapanya, beliau juga belajar di beberapa buah pondok pesantren di Tanah Jawa, antaranya Pesantren Lirboyo, Kota Kediri.

Di pesantren tersebut, berkemungkinan beliau pernah mengaji dengan Kiai Haji Abdul Karim (1856-1954) iaitu pengasas pondok berkenaan, serta para penggantinya iaitu Kiai Haji Marzuqi Dahlan (1906-1975) dan Kiai Haji Mahrus Ali (1907-1985).
Beliau juga pernah belajar di Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng dan Pesantren Krapyak, Yogjakarta. Pesantren Krapyak atau Pesantren al-Munawwir diasaskan oleh Kiai Haji M. Moenawwir (1942) yang terkenal sebagai pakar al-Qur'an dan qiraat. Di pondok tersebut juga Kiai Husain tekun mempelajari al-Quran dengan gurunya Kiai Moenawwir dan menghayatinya sehinggalah beliau berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta menguasai seni qiraat.

Mendirikan pondok pengajian

Kecintaan beliau terhadap ilmu agama yang sangat tinggi menyebabkan Kiai Husain membuka sebuah pondok pengajian sekitar tahun 1944. Pondok yang didirikan tersebut dikenali sebagai 'Pondok Kiai Haji Husain Sijangkang' atau disebut di kalangan masyarakat Jawa sebagai ‘Pondok Kiai Kusin’.

Pondok ini juga disebut sebagai ‘Asrama Haji Husain’ dan ‘Ma’ahad al-Talabah al-‘Abbasiyah’. Dikatakan bahawa kegemilangan pengajian pondok Kiai Husain adalah antara tahun 60-an dan 70-an, namun kemudiannya pupus disebabkan tiada penyambung untuk meneruskannya.

Berkenaan pondok pengajian tersebut turut dibentangkan oleh pembentang lain, dengan judul Kiai Haji Hussin dan Pondok Ma’had al-Talabah al-Abbasiah: Analisis Penubuhan, Peranan dan Sumbangannya Kepada Masyarakat,. Ia merupakan hasil penyelidikan pensyarah-pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof. Madya Dr. Mohd. Nasran Mohammad dan Ahmad Dahlan Salleh.

Antara yang dibincangkan dalam kertas kerja tersebut adalah mengenai latar belakang pondok, biodata pengasas, perkembangan pondok dan matlamat penubuhan serta sistem pengajian, yang merangkumi sistem pelajaran, cara penyampaian, kitab-kitab yang dipelajari, waktu belajar, undang-undang pondok, sumber kewangan dan masalah pondok.
Namun disebabkan kepadatan ruangan ini, maka hanya beberapa perkara sahaja yang dibicarakan yang dipetik dari kertas kerja tersebut, iaitu:

Sistem pelajaran

Sistem pembelajaran adalah sama seperti sistem pondok-pondok lain di Malaysia, iaitu tiada peperiksaan, tiada kelas tambahan dan tiada sijil dikeluarkan.
Ini kerana objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan pelajar yang alim dan mahir dalam bahasa Arab, dengan harapan mereka dapat memimpin masyarakat setempatnya apabila pulang ke kampong masing-masing.

Sebagai pengasas pondok tersebut, maka beliau adalah ketua dalam segala hal. Disebabkan itu segala kitab yang dibaca, disiplin dan perkara yang berkaitan pondok ditentukan sendiri oleh Kiai Hussin.

Kitab-kitab yang dibaca

Pada umumnya kitab yang dibaca dapat dibahagikan kepada dua. Pertama kitab bagi pelajar baru dan kedua bagi pelajar-pelajar lama. Di antara kitab-kitab yang pernah dibaca golongan pertama ialah Matn al-Jurumiyyah (Nahu), Matn al-Taqrib (Fiqh), Matn al-Safinah (Fiqh), Matn Sullam al-Tawfiq (Fiqh), Matn Bina’ (Sorof), Matn al-Arba’in (Hadis), Matn al-‘Izzi (sharaf) dan Muqaddam.

Berikut pula adalah kitab-kitab yang dibaca bagi gologan kedua, iaitu:

1. Kitab-kitab Nahu, iaitu: Nizam al-‘Umriti, Matn al-Fiyyah, Mutammimah, Syarh Ibn ’Aqil dan lain-lain lagi.
2. Kitab-kitab Fiqh, iaitu: Syarh al-Bajuri, Fath al-Mu’in, I'anah al-Talibin, al-Iqna’, Nihayah al-Zain, Fath al-Wahhab dan lain-lain lagi.
3. Kitab-kitab tafsir, iaitu: Tafsir al-Jalalain, Tafsir al-Munir dan kitab-kitab tafsir lain.
4. Kitab-kitab sharaf, iaitu: Matn al-Bina’, Matn al-Izzi, Matn al-Maqsud dan lain-lain lagi.
5. Kitab-kitab Hadis, iaitu: Matn al-Arba’in, Mukhtasar Ibn Abi Jumrah, Hadith Bukhari, Hadith Muslim, Mustalah al-Hadith dan lain-lain lagi.
6. Kitab Akhlak, iaitu: Ta’alim al-Muta'alim.
7. Kitab-kitab Tasauf, iaitu: Hidayah al-Salikin, Maraqi al-‘Ubudiyyah dan Ihya’ Ulum al-Din.


Cara penyampaian

Cara pertama dipanggil ‘sorokgan’ iaitu selepas guru mengajar, pelajar mestilah membaca seorang demi seorang di hadapannya dengan betul. Kadang-kadang dikehendaki menghafal kalimah tersebut. Cara ini digunakan biasanya kepada pelajar baru.
Cara kedua secara ‘bandungan’ iaitu pelajar dikehendaki memahami kitab yang dibaca oleh kiai dan mencatit makna kalimah. Cara ini digunakan kepada pelajar lama khasnya yang telah membaca kitab-kitab asas.

Hafiz al-Quran

Kiai Husain adalah salah seorang ulama yang menghafal 30 juzuk al-Quran keseluruhannya pada zamannya. Beliau memiliki sebuah mushaf al-Quran kecil bersaiz poket dan sentiasa membawanya bagi mengingati ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya. Sebagai seorang hafiz al-Quran, beliau sering mengulang-ulang kelancaran hafalannya, terutama di bulan Ramadan, yang mana beliau akan mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih.

Beliau juga memberikan ijazah khas al-Quran dengan qiraat Hafs ‘an ‘Asim yang disebuturan dengan beliau.
sebagai Syahadah al-Qurianiyyah kepada murid-muridnya yang telah khatam al-Quran.

Ahli Falak

Kiai Haji Husain juga dikenali sebagai ahli dalam ilmu falak dan mengajarkan ilmu tersebut kepada murid-muridnya. Bahkan pondok yang diasaskan boleh beliau turut mengeluarkan sendiri kalendar tahunan yang mengandungi takwim hijrah yang disertakan dengan kalendar jawa dan waktu solat.

Kalendar tersebut dikeluarkan

pada setiap tahun dan masih wujud sehinggalah kini dan masih
digunapakai oleh masyarakat Jawa, khususnya di Selangor hingga ke selatan Perak.

Penulisan

Sebagaimana ulama-ulama lain yang banyak menghasilkan karya dalam penulisan, Kiai Husain juga banyak menghabiskan masanya dengan menyalin kitab-kitab, termasuklah syair-syair, hadis-hadis sehinggalah kitab-kitab yang agak tebal. Bahkan dikatakan sehingga kini sebahagian kitab-kitab yang disalinnya masih tersimpan dengan baik.
Namun, tidak diketahui sebarang karya asli yang dihasilkan oleh beliau. Dalam kajian pembentang tersebut, hanya ditemui sebuah sahaja iaitu, terjemahan Matn Ajrumiyah ke dalam bahasa Jawa yang diselesaikan oleh beliau pada tahun 1348 H dan masih berbentuk tulisan tangan.


Kewafatan


Beliau kembali ke rahmatullah pada 11 Zulhijjah tahun 1401 H (1981 M)
dan dikebumikan di Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang. Beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu melebihi umur Nabi SAW, dan ditakdirkan beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar umur 62 tahun.Di akhir-akhir hidupnya, beliau juga pernah menyuruh anaknya Muhammad Mahin untuk membuatkan meja rendah, dengan alasan mudah untuk meletakkan makanan dan menjaganya agar tidak dihurung semut. Namun, beliau menyuruh agar dibuat lebih panjang sehingga ukuran seseorang dapat berbaring atasnya. Dengan takdirnya meja yang tersebut jugalah yang digunakan untuk meletakkan jenazah beliau.

Selain itu, terjadi juga sesuatu yang menghairankan semasa kematian beliau, di mana tarikh di kalendar bertukar menjadi warna hitam, walhal kalendar tersebut dicetak tidak menggunakan dakwat hitam. Namun apabila ditanya kepada pihak percetakan, mereka juga tidak dapat memberi jawapan tentang perkara tersebut.
Keturunan Kiai Haji Husain mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan seorang tokoh ulama Jawa yang terkenal di Selangor suatu masa dahulu iaitu Kiai Haji Dahlan bin Haji Hassan Isbath.

Hasil perkahwinan dengan Hajah Darwiyah tersebut, beliau dikurniakan lapan cahaya mata, iaitu Hajah Jamalah, Hajah Fauziah, Haji Muhammad Mahin, Haji Mujib, Hajah Aishah, Hajah Barirah, Hajah Munah dan Hajah Jumanah.


ini adalah gambar klasik yang sempat diselamatkan. Mungkin ada yang mengenali wajah-wajah comel dan tampan dalam foto ini. Ada juga yang wajah seiras dengan pengunjung-pengunjung yang bertandang ke dalam blog ini. Anda perasan tak ?

Wednesday, March 4, 2009

Sumbangan Untuk Kandungan Blog Usrah Hj Husin

Assalamualaikum semua,

1. Pihak team blogger Usrah Hj Husin amat mengharapkan bantuan dari semua kerabat keluarga besar kita untuk menambahkan lagi masukan dan bahan koleksi untuk dimuatkan dalam blog ini.

2. Semua maklumat yang ingin disumbangkan boleh disalurkan kepada team blogger UHH ; kiyaikusen@gmail.com.

3. Kswon

MONGGO MAMPIR

Kiai Muhammad Ali Qaribun: Pengasas Awal Pondok di Selangor.

Petikan dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

TOKOH ulama Selangor yang dibicarakan ini adalah lanjutan daripada ruangan minggu lalu iaitu mengenai Kiai Muhammad Ali Qaribun. Beliau adalah ulama yang dikenali sebagai pelopor institusi pendidikan pondok di negeri Selangor. Perbicaraan mengenai tokoh ini adalah hasil kajian Ustaz Ahmad Shukri Ghazali, yang dibentangkan pada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 22 November yang lalu, dengan judul Kiai Muhammad Ali Qaribun: Pengasas Awal Pondok di Selangor.

Pada ruangan yang lepas dibicarakan mengenai latar belakang keluarga, pendidikan dan beberapa sejarah kehidupan mengenai tokoh ini. Kesinambungan daripada itu, perkara yang akan difokuskan kali ini pula membicarakan sejarah pendirian pondok di Sijangkang serta kitab-kitab pengajian yang diajar, keperibadian dan kewafatan beliau. Mendirikan pondok di Sijangkang Setelah berada di Sijangkang sekitar 1917 atau sebelum dari itu, Kiai Muhammad Ali diberikan sebidang tanah untuk membangunkan pondok pesantren dengan bergotong-royong. Bermula dengan pengajian di masjid, akhirnya murid Kiai Muhammad Ali bertambah ramai di antaranya dari Batu Pahat, Johor yang mengikutinya semasa berhijrah ke Klang, kemudian dari Perak, Melaka, Selangor termasuk Sabak Bernam, Sungai Air Tawar dan seorang dari Kelantan sehingga dianggarkan kira-kira 100 orang dari seluruh Tanah Melayu.

Apabila murid beliau bertambah ramai sekitar 400 orang, pondok-pondok kecil mula didirikan sekitar kawasan masjid secara bergotong-royong. Sementara adiknya Kiai Abbas (Abdullah Kahfi) sebagai pembantu. Bermula dengan tertubuhnya pondok Kiai Haji Muhammad Ali, maka muncullah pondok-pondok lain disekitar Klang. Antaranya pondok Masyhudi di Sungai Pinang, Pondok Kiai Haji Muhammad Khalil al-Jawi (1940), Pondok Kiai Hairawi (1960) dan banyak lagi. Pondok yang terawal di Selangor ialah Pondok Kiai Haji Muhammad Ali di Sijangkang dan pondok Kiai Mashudi di Sungai Pinang, Klang.

Sejak pesantren tersebut didirikan, penuntut Kiai Haji Muhammad Ali semakin bertambah. Kebanyakan mereka tertarik dengan kewibawaan dan ketinggian ilmu Kiai Haji Muhammad Ali yang mengajar tanpa menggunakan kitab. Di antara kitab yang digunakan semasa mengajar ialah Safinatun Naja, Fathul Mu’in, Matan al-Jurumiyah, Ihya ‘Ulumuddin, Khazinah al-Asrar yang diperoleh dari Singapura dan Pulau Pinang. Kebanyakan murid lama dan berpengalaman pula akan mempelajari Tafsir al-Munir karya Imam Nawawi al-Bantani dan Tafsir Jalalain pada setiap hari Jumaat pukul 10 pagi. Di antara murid Kiai Muhammad Ali yang mahir Awamil Jurjani ialah Kiai Basri, Sijangkang, manakala di antara murid yang menghafal Matan Alfiyah adalah Kiai Yunus dan Kiai Parjo.

Murid-murid yang layak untuk mengajar biasanya akan disemak oleh Kiai Haji Muhammad Ali, setelah itu barulah dibenarkan mengajar. Beliau juga mengajar beberapa kitab lain seperti Tafsir Yasin dan ilmu hikmah seperti Mujarobat dan sebagainya. Di antara pembantu-pembantu beliau pula ialah Kiai Bukhari dari Sungai Simon Perak, Kiai Rubai’, Kiai Mansor dan Kiai Tahir. Salah seorang murid Kiai Haji Muhammad Ali yang bijak ialah Kiai Ghafur dari Temoh, Perak, merupakan seorang murid yang mahir berbahasa Inggeris. Semasa tinggal di pondok, beliau memberi tunjuk ajar kepada murid yang kurang mahir berbahasa Inggeris.

Murid-murid Kiai Muhammad Ali diberi kebebasan dalam berpakaian. Hal ini berbeza dengan pondok Kiai Hussin bin Kiai Abbas, yang tegas dan melarang murid-muridnya memakai topi dan seluar kerana menurutnya menyerupai orang-orang Barat. Pernah terjadi satu ketika Kiai Hussin menyarankan agar Kiai Muhammad Ali mendisiplinkan murid-muridnya untuk berpakaian, akan tetapi beliau enggan memaksa. Katanya: “Asalkan menutup aurat sudah dan orang muda jangan dipaksa.” Oleh itu, dalam berpakaian Kiai Haji Muhammad Ali memberi kebebasan untuk berpakaian, sama ada hendak memakai seluar, kain atau jubah. Keterbukaan beliau untuk berpakaian menarik ramai muda-mudi untuk mengaji agama di pondok pesantrennya.

Keperibadian Kiai Muhammad Ali Pada kebiasaannya setiap lepas solat, beliau akan masuk ke bilik suluk untuk berzikir di sebelah rumahnya dengan berjalan kaki di petak-petak batu yang berjumlah 83 biji. Jikalau ada yang mengekorinya, beliau akan berhenti dan duduk bertanya. Pada Subuh hari Jumaat beliau sentiasa membaca surah As-Sajadah dan surah Al-Insan, meskipun usianya sudah menjangkau hampir 100 tahun. Beliau menyatakan siapa yang baca dengan ikhlas pahalanya seperti mendapat malam Lailatul Qadar. Selepas itu beliau akan mengadakan syarahan agama berbahasa Jawa dan menasihati muridnya agar mendirikan solat, menuntut ilmu dengan ikhlas dan beramal.

Apabila masuk waktu Subuh, Kiai Haji Muhammad Ali akan memukul tin-tin kecil mengelilingi pondok untuk mengejutkan muridnya. Begitulah rutin harian yang dilalui oleh seorang tokoh ulama yang tidak pernah merasa jemu. Setelah itu beliau akan menunggu muridnya di pintu masuk dan mendenda murid-murid yang lambat solat Subuh.

Kiai Haji Muhammad Ali adalah seorang yang mahir ilmu falak. Semasa beliau berhijrah dari Tanah Jawa ke Tanah Melayu, beliau akan berpandukan ilmu falak untuk menentukan arah kiblat dan waktu solat, begitu juga semasa di dalam hutan dan pelayaran. Setiap kali beliau melangkah masuk ke dalam masjid, pasti tepat dengan laungan azan. Beliau pernah berpuasa terlebih dahulu daripada orang lain. Pernah satu ketika Pejabat Agama Islam Selangor mengunjungi beliau dan bertanya: “Mengapa berpuasa terlebih dahulu?” Lalu beliau menjawab: “Ini mengikut kiraan hisab, dan beliau juga berkata pada waktu sekian, jam sekian, di tempat sekian, sila lihat anak bulan Syawal. Akhirnya firasat beliau benar sehingga dicalonkan sebagai mufti, tetapi beliau menolaknya.

Keperibadian beliau pula adalah seorang yang sentiasa berjubah, bertongkat dan berserban. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan agak sedikit gempal dan kelihatan sihat. Meskipun sudah terlalu tua tetapi giginya masih elok dan matanya masih terang. Beliau banyak bermujahadah, bersuluk, berzikir, bertahajud, berpuasa mutih (berbuka dan bersahur hanya dengan sekepal nasi putih dan secawan air putih). Apabila beliau membuang air besar, najisnya sangat kecil seumpama sebutir kurma lalu dibersihkan oleh anak muridnya. Begitulah penghormatan yang diberikan oleh murid-muridnya sebagai seorang yang tinggi darjatnya, bertaraf wali Allah. Hal-hal yang sedemikian menyebabkan ramai murid beliau tidak berpindah guru lain sehinggalah pemergian beliau.

Kiai Haji Muhammad Ali mengajar hampir 50 kitab dan senarai kitab tersebut diperoleh daripada murid beliau Kiai Haji Muhammad Dahlan, berdasarkan dhabit dan catatan. Ada sebahagian kitab diajar secara berkumpulan atau beramai-ramai yang disebut orang Jawa sebagai bandungan, iaitu guru membacakan dan menjelaskan isi kitab yang dikaji manakala murid mendengarkannya. Terdapat juga sebahagian kitab hanya didengar oleh Kiai Haji Muhammad Ali melalui pembacaan muridnya. Kitab-kitab yang tertinggi hanya dikhususkan untuk murid-murid yang mahir sahaja. Pengajian asas akan diajar secara berkumpulan sehingga khatam, sementara pengajian khusus untuk murid yang ingin mendalami ilmu dengan lebih meluas.

Kewafatan Setelah hampir 40 tahun menabur bakti di negeri Selangor, Kiai Muhammad Ali ditakdirkan kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, bertarikh 28 Januari 1955 bersamaan 5 Jamadilakhir 1374H sebagaimana yang tercatat pada batu nisannya. Sebelum wafatnya, beliau berwasiat agar dimakamkan bersebelahan mimbar Masjid Sijangkang bersama isterinya. Murid-murid beliau juga memohon agar jenazahnya dimakamkan di tempat yang sama. Maka permintaan tersebut diperkenankan oleh Sultan Selangor sebagai mengenang jasanya yang gigih mendirikan pondok pesantren. Kewafatan beliau disiarkan di corong radio sebagai mengenang seorang ulama yang sangat gigih berjuang dalam agama dan mendidik anak bangsa.

ALU-ALUAN

Assalamualaikum wrt. wbt.

Kabare mbah-mbah, wak-wak, paman-paman dan semua pengunjung blog ini.

Saya mengucapkan selamat datang dan kunjungan anda semua sangat bermakna dalam usaha kita mengeratkan hubungan silaturahim.

Saya bagi pihak keluarga Tn Hj Mughni bin Hj Abdul Rahman dan Hajah Pauziah Hj Husin sangat berbesar hati sekiranya tetamu-tetamu terhormat semua dapat membantu membangunkan blog ini untuk meningkatkan jaringan dan hubungan keluarga kita.

marilah kita bersama-sama menyumbangkan idea, ilmu dan pengalaman,catatan perjalanan bersejarah, foto-foto lama yang dapat mempersatukan jaringan keluarga besar al Marhum Kiyai Kusen.

Tujuan blog ini bukanlah untuk berbangga-bangga dengan keturunan atau niat mazmumah ( mohon dilindungi Allah ) tetapi bertujuan untuk menjadi wadah kita berkongsi ilmu dan informasi yang berguna untuk dikongsi bersama.

Mohon pandangan dan saran yang baik dari semua.

MOZAM